SUNGAI PETANI – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang mereka naiki merempuh belakang jip tentera dalam kejadian di Kilometer (KM) 87 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, penunggang motosikal jenis Benelli TNT, Ridzuan Salleh, 42, yang merupakan anggota tentera maut serta-merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dan melecur pada anggota badan
Sementara isterinya, Rosmawati Ismail, 39, yang juga cedera parah pada anggota badan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.
Rempuhan kuat mengakibatkan pasangan suami isteri terbabit terperosok ke dalam ruang belakang jip jenis Isuzu itu manakala motosikal berkuasa tinggi terbakar.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memberitahu, kemalangan berlaku ketika motosikal berkuasa tinggi dinaiki dua mangsa bergerak laju dari arah Alor Setar ke arah Butterworth, Pulau Pinang.
“Motosikal berkenaan kemudian melanggar belakang jip tentera dan impak perlanggaran yang kuat menyebabkan motosikal itu terbakar di tengah laluan jalan.
“Penunggang motosikal maut serta-merta di tempat kejadian manakala pembonceng meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah HSAH,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk dibedah siasat.
“Sementara dua anggota tentera yang merupakan pemandu dan penumpang jip masing-masing berusia 28 dan 42 tahun tidak mengalami kecederaan,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada motosikal yang ditunggang dengan laju sehingga hilang kawalan lalu melanggar belakang jip tentera.
“Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE.