fbpx

Sindiket seludup warga Pakistan cari isteri orang Malaysia tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara PATI warganegara Pakistan yang ditahan dalam Ops Khas Gelombang IV di Kelantan pada Isnin lalu. FOTO-JIM

PUTRAJAYA – Cubaan sindiket membawa masuk enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan dilumpuhkan Jabatan Imigresen (JIM) dalam Ops Khas Gelombang IV di Kelantan pada Isnin lalu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya menumpaskan satu sindiket didalangi lelaki Pakistan selepas menahan kesemua PATI tersebut yang berusia 30 hingga 50 tahun pada pukul 9 pagi.

Katanya, operasi disertai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat dan JIM Kelantan.

“Berdasarkan maklumat risikan, dua pasukan operasi diatur gerak ke dua lokasi berasingan. Pasukan pertama mengekori sebuah kenderaan yang digunakan sindiket untuk membawa PATI yang baru diseludup masuk.

“Mereka memintas kenderaan itu di Pasir Mas dan menahan tiga lelaki Pakistan terdiri daripada transporter dan PATI yang baru diseludup masuk,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, pasukan kedua menyerbu sebuah rumah di Pasir Tumboh, Kota Bharu yang dijadikan lokasi transit PATI dan menahan lima lelaki Pakistan termasuk dalang utama sindiket.

“Modus operandi sindiket adalah menyeludup PATI warga Pakistan dengan menaiki pesawat dan mendarat di Thailand. Mereka kemudian dibawa masuk ke Malaysia melalui pengkalan haram melintasi sempadan Malaysia-Thailand.

“Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke Malaysia. Mereka kemudiannya dibawa ke destinasi seperti Lembah Klang, Melaka, Pulau Pinang dan Johor Bahru,” ujarnya.

Dalam serbuan berkenaan, JIM merampas wang RM2,000, lapan pasport Pakistan yang tidak mempunyai cap masuk ke Malaysia, kenderaan pelbagai guna dan sebuah kereta dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan.

Ruslin berkata, dalang utama yang merupakan pemegang Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Suami kepada wargan tempatan manakala transporter merupakan lelaki Pakistan dan pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak Mei 2022. Siasatan awal mendapati sindiket menguruskan PATI berasal dari Pakistan yang cuba merebut peluang pekerjaan secara haram serta menyasarkan wanita warga tempatan untuk dijadikan isteri di negara ini,” jelasnya.

Tambahnya, dalang utama dan transporter ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007. Enam PATI pula ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

“Kesemua suspek ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI