IPOH – Dalam meneruskan komitmen membantu rakyat, kerajaan negeri Perak meneruskan bantuan Kad Perak Sejahtera (KPS) dengan peruntukan sebanyak RM25.2 juta melibatkan 20,000 pengguna pada tahun ini.
Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (Wanita Perak), Jamilah Zakaria berkata, setiap penerima akan menikmati RM90 sebulan untuk pembelian barangan di kedai-kedai terpilih dan RM150 setahun untuk mereka memperoleh perkhidmatan kesihatan di panel-panel klinik terpilih.
“Sehingga bulan lalu, KPS telah memberi manfaat kepada 15,766 penerima yang merupakan testimoni kepada komitmen tinggi kerajaan negeri Perak dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa meningkat dan bertambah baik,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Katanya, kerajaan negeri sentiasa memberi penekanan terhadap agenda untuk membangunkan masyarakat sebagai salah satu wawasan dalam jentera pentadbiran negeri.
Justeru, katanya, kerajaan negeri Perak memperkenalkan program Kad Perak Prihatin (KPP) bermula April 2019 dan pada tahun ini, ia telah dijenamakan semula sebagai KPS.
Mengulas lanjut, Jamilah berkata, prinsip Perak Sejahtera 2030 didukung oleh lima nilai bersama dan salah satu daripadanya ialah prihatin dengan keadaan sekeliling serta menghulur bantuan dengan mengutamakan mereka yang lebih memerlukan.
Oleh yang demikian, katanya, Perak Sejahtera 2030 melihat kesejahteraan sosial sebagai usaha untuk mengubah dan menjamin kesejahteraan individu, masyarakat dan rakyat dalam meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
“Kerajaan negeri sedar bahawa jumlah penerima yang berpotensi untuk menerima manfaat daripada pelaksanaan program KPS ini adalah jauh lebih besar.
“Situasi peningkatan harga barang dan bebanan kos hidup juga menjadi perkara yang sentiasa diberikan tumpuan serius oleh kerajaan negeri.
“Justeru, kerajaan negeri akan berusaha lebih kuat untuk meningkatkan pendapatan dan hasil negeri supaya dapat terus membela nasib lebih ramai rakyat yang memerlukan di luar sana melalui pelaksanaan program ini,” katanya.
Jamilah berkata, bagi jangka masa panjang, kerjasama pelbagai agensi diharapkan dapat membantu para penerima tersebut dapat keluar dari kepompong yang membelenggu ekonomi keluarga masing-masing, sekali gus mengupayakan mereka.
Katanya, pepatah Cina kuno yang tepat dan masih relevan untuk menggambarkan situasi ini iaitu memberi pancing lebih baik daripada memberi ikan.
“Jika kita memberi ikan, nanti orang yang kita tolong akan selesa lalu menjadi malas untuk berusaha.
“Sebaliknya, jika kita memberi pancing, mereka akan berusaha untuk mendapatkan ikan sendiri. Usaha kerajaan negeri tidak terhenti setakat itu. Kita akan membantu mengajar dan mendidik penerima bagaimana menggunakan pancing tersebut agar dapat terus berusaha dan berdiri di atas kaki sendiri,” ujarnya.
Jelasnya, pihak kerajaan negeri mahu agar para penerima tersebut kompetitif dan sentiasa berusaha untuk mendayaupayakan kemahiran hidup agar mereka mampu meningkatkan pendapatan isi rumah. -KOSMO! ONLINE