fbpx

Ekspo Halal Malaysia 2023 jana jualan RM4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairul Shahril (kiri) bersama sebahagian penerima sijil anugerah HQC Global Brand Awards di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Ekspo Halal Malaysia 2023 (Ekspo Halal 2023)yang berlangsung selama tiga hari pada awal bulan ini di Pusat Pameran Persidangan dan Pameran Mines, Sungai Besi di sini telah berjaya menjana transaksi dagangan runcit sehingga RM4 juta.

Program julung-julung kali dianjurkan oleh HQC Commerce Sdn. Bhd. (HQC) dengan gabu­ngan bersama Dewan Perniagaan Islam Malaysia itu bertujuan untuk menyediakan platform terbaik kepada semua perusahaan bersaiz kecil, swasta dan juga dari luar negara memperagakan produk dan perkhidmatan kepada masyarakat di bawah satu bumbung.

Ketua Pegawai Eksekutif HQC, Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, ekspo ini memiliki keunikannya tersendiri kerana ia terbuka kepada perusahaan dan syarikat yang belum memiliki sijil halal.

“Ini merupakan platform berkesan kepada mana-mana perusahaan untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman dalam industri halal.

“Menerusi ekspo ini, mereka dapat berkomunikasi secara langsung dengan Jabatan Kemajuan Iskam Malaysia (Jakim) tentang proses pensijilan halal dan juga perkara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutup Ekspo Halal Malaysia 2023 baru-baru ini.

Jelas Khairul Shahril, seba­nyak 123 syarikat dan orga­nisasi daripada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, pendidikan, perbankan, kosmetik, fesyen khususnya kategori muslimah, farmaseutikal dan juga pelancongan yang menyertai ekspo tersebut.

Tambah beliau, program ter­sebut turut disertai oleh kira-kira 40 delegasi perniagaan dari Indonesia, Myanmar, Fili­pina dan Vietnam sebagai usaha mereka membuka peluang menjalin usaha sama dengan perniagaan tempatan.

“Kami juga telah menganjur­kan pemadanan perniagaan de­ngan menemukan pasar raya besar dengan perusahan kecil. Ini bagi membuka peluang mereka menambah nilai taraf perniagaan masing-masing sekali gus mencetuskan usaha untuk mana-mana syarikat yang belum mendapatkan sijil halal bergerak ke arah positif tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, sebanyak 13 buah syarikat dan individu menerima anugerah HQC Global Brand Awards (HGBA) 2023/2024.

Anugerah itu bertujuan untuk memperkasa perniagaan tempatan dan mendorong pertumbuhan ekonomi negara selain sebagai bukti sokongan kepada inisiatif usahawan dan perniagaan membina kepercayaan serta kesetiaan pelanggan terhadap jenama mereka.

Kriteria utama bagi pemilihan calon untuk anugerah itu adalah syarikat tersebut merupakan pemegang sijil halal yang sah dan diiktiraf oleh Jakim, mempunyai rekod perniagaan yang baik tanpa sebarang isu berkaitan halal dan mempunyai tadbir urus perniagaan yang baik.

Antara penerima anugerah HGBA 2023/2024 di bawah kate­gori halal adalah Ayam Penyet Bagus Sdn. Bhd., Haus International Sdn. Bhd., Georgia Villa Sdn. Bhd. dan Big Onion Food Caterer Sdn. Bhd..

Syarikat lain adalah Papa Fry Sdn. Bhd., Equinox Health & Beauty Sdn. Bhd., Candy Crum Sdn. Bhd., Straits Sea Foods Trading Co. Sdn. Bhd. dan Nims Adeliciousz Sdn. Bhd. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI