fbpx

Ombak setinggi bangunan 5 tingkat hempas bandar Derna di Libya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar saluran televisyen Libya, al-Masar kelmarin menunjukkan sebilangan mayat mangsa tragedi Derna di Libya. -- AFP

TRIPOLI, Libya – Bantuan antarabangsa mula tiba di bandar pelabuhan Derna ketika angka korban akibat Ribut Daniel yang membadai pesisir utara Libya Sabtu lalu, dibimbangi mencecah 20 ribu orang, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Seramai 10,000 orang diisytiharkan hilang oleh agensi-agensi bantuan seperti Pertubuhan Bulan Sabit Merah Libya tetapi anggaran 20,000 kematian itu dibuat oleh pengarah pusat perubatan al-Bayda, Abdul Rahim Maziq.

Mayat bergelimpangan di jalan-jalan raya, manakala bekalan air minuman amat berkurang. Angka kematian pula akan meng­ambil masa untuk disahkan kerana sebilangan perkampungan yang musnah, terletak jauh di pedalaman.

Bagaimanapun, skala kemusnahan kelihatan jauh lebih buruk daripada ramalan beberapa pegawai sebelum ini.

“Laut tidak henti membawa semula berpuluh-puluh mayat ke pantai,” kata Hichem Abu Chkiouat yang merupakan menteri penerbangan awam dalam kerajaan di timur Libya. Katanya, pembinaan semula akan menelan belanja berbilion-bilion dolar.

Pertubuhan Migrasi An­ta­rabangsa(IOM) di Libya berkata kelmarin, sekurang-kurangnya 30,000 orang hilang tempat tinggal di Derna. Bandar itu paling teruk terjejas akibat Ribut Daniel.

IOM menambah, seramai 6,085 lagi diketahui hilang tempat tinggal di kawasan-kawasan lain yang terjejas termasuk Benghazi tetapi angka tersebut masih belum di­sahkan.

Ribut Daniel membawa hujan lebat di timur Libya yang menyebabkan air dua buah empangan di rantau itu penuh. Menje­lang pukul 3 pagi (waktu tempatan) Isnin lalu, empangan pertama runtuh dan tembok air setinggi 20 meter atau menyamai ketingggian bangunan lima tingkat, mengalir turun sebelum ditahan seketika oleh empangan kedua.

Namun, kedua-dua empangan itu runtuh, menyebabkan air deras menyapu apa sahaja di laluan dan menghumbannya ke dalam laut, manakala menjelang subuh, satu pertiga Derna hilang.

Ramai penduduk tempatan menyifatkan bencana yang berlaku sebagai tsunami dan bukannya banjir besar.

Dalam perkembangan ber­kai­tan, beratus-ratus mayat ditanam dalam sebuah kubur besar berikutan kebimbangan penularan wabak penyakit.

Penduduk Derna juga merayu supaya hospital lapangan baharu didirikan selepas dua hospital sedia ada di bandar itu dijadikan rumah mayat untuk menempatkan mayat mangsa yang bertimbun.

Pasukan peronda laut juga bertungkus lumus mengesan mayat-mayat yang terdampar di tepi pantai dengan banyak mayat mangsa dibawa ke Tobruk untuk proses pengecaman.

Terdahulu, agensi-agensi bantuan bergelut untuk sampai ke bandar yang mempunyai lebih 100,000 penduduk itu selepas banyak jalan raya musnah. Mesir menyumbang sejumlah helikopter, manakala Perancis menghantar sebuah hospital lapangan bersama 50 anggota termasuk kakitangan tentera dan awam ke Derna.

“Beratus-ratus kediaman tertimbus di bawah lumpur, serpihan dan air. Tiada bantuan tiba. Angka korban sangat menye­ramkan. Kedengaran juga rayuan daripada sebilangan mangsa di bawah runtuhan,” kata wartawan Libya yang melakukan perjalanan ke Derna, Mohamed Eljarh.

Libya kini terbahagi kepada dua pentadbiran yang berpe­rang, namun agensi-agensi bantuan mengharapkan kedua-dua belah pihak dapat bekerjasama secara maksimum untuk menye­laraskan usaha bantuan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI