LIVERPOOL – Khabar dari kem Uruguay meletakkan Liverpool dalam satu lagi cabaran apabila berdepan risiko hilang khidmat Darwin Nunez pada aksi Liga Perdana Inggeris bertemu Wolverhampton, malam esok.
Pengurus Uruguay, Marcelo Bielsa sendiri seakan beri bayangan penyerang itu sedang berdepan masalah otot yang menyaksikannya terpaksa membawa keluar Nunez sebelum aksi berakhir dalam aksi bertemu Ecuador, kelmarin.
“Darwin tiba dalam keadaannya berdepan masalah otot dan ia menghadkan aksinya. Saya fikir saya perlu menggantikannya kerana dia sudah bekerja keras untuk melakukan tekanan dan menggerakkan serangan pada aksi sebelum ini,” katanya.
Nunez menjadi watak penting kepada Liverpool musim ini termasuk menyumbangkan dua gol untuk bantu The Reds catatkan kemenangan 2-1 ke atas Newcastle United hujung bulan lalu.
Bagaimanapun, berita terkini pastinya memberi kerisauan buat pengendali Liverpool, Jurgen Klopp ketika misinya untuk memastikan pasukan kekal tanpa kalah.
Klopp jelas gembira dengan aksi Nunez dan sifatkan sikap pemain itu yang tidak gemar berada di bangku simpanan menjadi suntikan semangat hingga mampu tampil lebih baik setiap kali dibawa masuk.
Sejak mula sertai pasukan, Nunez sudah merekodkan 17 gol dan cipta lima bantuan jaringan sepanjang 46 penampilan awalnya. – AGENSI