fbpx

Kerjasama awam, swasta diperluas selaras Kertas Putih Kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha (tengah) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara Icon Cancer Centre dengan Sunsuria Healthcare di Plaza Equatorial hari ini. 
. Foto oleh FAUZI BAHARUDIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperluas dan memperkukuhkan dasar kerjasama awam swasta (PPP) selaras dengan Kertas Putih Kesihatan dan prinsip ekonomi Madani.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, usaha tersebut bertujuan meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan sambil mengoptimumkan peruntukan sumber antara kemudahan awam dan swasta.

Menurut Zaliha, KKM mengalu-alukan semua pihak untuk membentangkan ‘blueprint’ (pelan tindakan) bagi meneruskan inisiatif PPP.

“PPP ini kita ada gariskan dalam Kertas Putih Kesihatan dan kita sedang melihat kolabrasi bagaimana yang boleh kita buat yang mana kita belajar daripada pandemik tempoh hari.

“Jadi, kita akan perluas dan perkukuhkan usaha ini selain melihat ruang lain untuk menjalinkan kerjasama melibatkan latihan dan perkidmatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Icon Sunsuri Sdn. Bhd., sebuah entiti baharu hasil kerjasama antara Icon Cancer Center (Icon Group) dan anak syarikat Sunsuria Berhad, Sunsuria Healthcare, di sini hari ini.

Terdahulu, Zaliha turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Sunsuria Healthcare, Audrey Ooi dan Ketua Pegawai Eksekutif Icon ASEAN dan Hong Kong, Serena Wee.

Icon Sunsuria menyasarkan penyediaan akses kepada penjagaan kanser berkualiti dan meningkatkan kesejahteraan pesakit dengan menubuhkan pusat-pusat kanser di seluruh negara.

Ia membawakan rangkaian perkongsian pengetahuan antarabangsa merangkumi lebih 300 pakar onkologi dan rakan industri kanser, seiring dengan pendekatan terkini dalam penyelidikan klinikal, teknik rawatan, dan ubat-ubatan.

Dalam pada itu, Zaliha berkata, berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia mencatatkan sejumlah 48,639 kes kanser pada 2020, dan dijangka bertambah menjelang 2040 sekali gus melahirkan kebimbangan dan perlu ditangani segera.

Justeru, katanya, dalam bidang kanser, penglibatan sektor swasta adalah penting, terutama dalam konteks memajukan penjagaan dan penyelidikan serta mengukuhkan bakat tempatan.

“Pelan Strategik Kebangsaan bagi Program Kawalan Kanser (NSPCCP) memberi penekanan kepada memanfaatkan sumber dan kepakaran sektor swasta dalam pembangunan terapi kanser, dengan tujuan mengukuhkan pengurusan kanser dan menyatukan usaha penyelidikan.

“Jadi, KKM amat mengalu-alukan pihak swasta untuk memainkan peranan dalam memperkasakan tenaga kerja dengan akses kepakaran dan sumber khusus, seperti penglibatan dalam ujian klinikal, projek penyelidikan dan program latihan kemahiran,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI