JEMPOL – Hanya kerana menjadi satu-satunya anak dari perkahwinan terdahulu dari empat beradik, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di Bahau, di sini, menjadi mangsa penderaan.
Itu motif yang diperoleh polis hasil soal siasat yang dilakukan mereka terhadap kedua-dua suspek yang merupakan bapa kandung dan ibu tiri kepada kanak-kanak malang itu yang diselamatkan polis kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook, siasatan juga mendapati atas faktor itu juga mangsa sering didikriminasi sejak kecil dari segi pengurusan, makanan dan lain-lain lagi.
“Mangsa dijaga bapanya sejak kecil selepas berpisah. Bapa mangsa kemudiannya berkahwin dan mempunyai tiga anak lagi.
“Buat masa ini, siasatan lanjut sedang dilakukan dan kanak-kanak berkenaan kini sedang dirawat di Hospital Tunku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah serta berada dalam keadaan baik,” katanya, di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan sepasang suami isteri ditangkap selepas dipercayai bertindak kejam mendera kanak-kanak lelaki berusia enam tahun.
Difahamkan, nasib kanak-kanak malang itu hanya diketahui apabila dia melarikan diri dari rumahnya sebelum mengadu kepada orang awam.-KOSMO! ONLINE