KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mencadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab sendiri keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.
Hassan berkata, beliau mencadangkan agar perkara itu dijelaskan Anwar semasa sesi soal jawab Perdana Menteri (PMQ).
“Kalau tidak dalam masa terdekat ini, waktu sidang sesi soal jawab Perdana Menteri. Untuk berlaku adil supaya sahabat-sahabat di blok pembangkang dan kami backbenchers.
“Kami nak dengar dari Perdana Menteri sendiri supaya isu DNAA dinoktahkan juga dalam dewan ini,” katanya semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.
Hassan berkata, badan kehakiman seharusnya tidak disalahkan berkenaan isu DNAA ini sebaliknya ia adalah tanggungjawab Peguam Negara.
“Memang saya kurang puas hati tentang perjalanan itu. Saya merasakan Peguam Negara perlu memikul tanggungjawab ini dan amat sesuai Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi memanggil Peguam Negara yang lepas dan semasa untuk mendapatkan penjelasan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE