fbpx

Agong zahir rasa sukacita dapat dekati rakyat Sabah, Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong beramah mesra bersama rakyat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, Subang selepas menamatkan Kembara Kenali Borneo di Sabah dan Sarawak, semalam.

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa sukacita dan syukur.

Ini kerana, impian Baginda berdua mendekati rakyat negeri Sabah dan Sarawak tercapai menerusi program Kembara Kenali Borneo yang telah melabuhkan tirai di Telok Melano, Sematan, Sarawak, semalam.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof serta kerajaan negeri Sabah serta Sarawak atas segala bantuan dalam menjayakan program tersebut yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Sabah dan Sarawak atas sambutan hebat yang telah diberikan kepada Baginda berdua dan sekeluarga sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo.

“Beta berdua amat terharu dan tersentuh dengan semangat dan kasih rakyat yang dizahirkan di sepanjang jalan raya lokasi pengembaraan tanpa mengira penat lelah, ketika lewat malam serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat.

“Sesungguhnya, segala pengalaman menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan landskap semula jadi di kedua-dua negeri terpahat di hati Beta sekeluarga sebagai kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan,” titahnya.

Dalam pada itu, Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita kerana program Kembara Kenali Borneo juga telah memberi peluang mengeratkan lagi silaturahim antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dan juga merealisasi semangat “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”.

“Beta berdua mendoakan semoga rakyat Sabah dan Sarawak dilindungi serta dipelihara oleh Allah dan agar negeri Sabah dan Sarawak kekal makmur, maju jaya dengan rakyatnya juga kekal hidup dengan semangat perpaduan, aman dan sentosa,” titahnya.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia yang akan diraikan pada 16 September 2023 kelak, Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan untuk menyeru seluruh rakyat menghayati dan menjiwai prinsip Rukun Negara yang merupakan asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan identiti Bangsa Malaysia.

Seri Paduka Baginda bertitah, setiap lima teras prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan dan kepelbagaian serta hidup secara rukun dan damai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI