BANGI – Seorang penunggang wanita cedera di kepala selepas motosikal yang dia tunggang melanggar pembahagi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bangi Lama, Batu 2 Sungai Purun, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pukul 2.17 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sampai di lokasi kejadian didapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal yang telah melanggar pembahagi jalan lalu terjatuh di dalam longkang kedalaman dua meter.
“Mangsa wanita itu telah mengalami kecederaan pada bahagian kepala,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, wanita berusia 39 tahun itu dihantar ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE.