SABAK BERNAM – Perbuatan jahat seorang pekerja kedai serbaneka mencuri wang untuk berjudi dan membeli dadah dari mesin kaunter tempatnya bekerja di Taman Indah, Sekinchan mengundang padah selepas dia dicekup baru-baru ini.
Penahanan suspek lelaki berusia 28 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 malam, Ahad lalu di sebuah rumah tidak bernombor di Jalan Pantai Rasa Sayang, Tanjung Karang di sini.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd. Alias berkata, kecurian tersebut disedari
pekerja wanita yang merupakan juruwang di premis itu yang mendapati wang di dalam kaunter berkurangan sebanyak RM1,500.
Katanya, semakan televisyen litar tertutup (CCTV) merakam aksi suspek melakukan jenayah berkenaan pukul 7.30 malam pada 12 November lalu.
“Polis kemudiannya berjaya menahan suspek namun tidak menemukan wang yang dicuri oleh suspek.
“Siasatan lanjut mendapati suspek menggunakan wang tersebut untuk berjudi, membeli dadah dan makanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek baharu bekerja di kedai serbaneka itu sejak lima bulan lalu.
Agus menambah, semakan rekod menunjukkan suspek mempunyai jenayah lampau berkaitan cubaan merompak dan pecah rumah.
“Suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – K! ONLINE