PUTRAJAYA – Insiden kemalangan membabitkan empat buah kenderaan di laluan dari pusat beli-belah IOI City Mall menuju Presint 15 di sini, semalam, dilaporkan berpunca daripada tumpahan bekas minyak yang terjatuh dari lori.
Punca kemalangan itu sekali gus menepis dakwaan segelintir pengguna media sosial yang mendakwa keadaan jalan berminyak tersebut dilakukan oleh kumpulan ‘Abang Towing’ demi mendapat tugasan menunda kereta.
Menurut pemilik Alang Auto Assist, Muhd. Fikri Abdullah, kejadian insiden yang turut melibatkan seorang penunggang motosikal itu terjadi selepas berlakunya tumpahan minyak daripada bekas yang diletakkan di belakang lori.
“Jadi, saya ingin menegaskan, kejadian tumpahan minyak itu tiada kaitan dengan kumpulan penunda kenderaan.
“Sebaliknya, kami berada di situ untk menunda kenderaan terlibat dan mengesahkan ia bukan menjadi punca kepada kemalangan itu.
“Selain itu, kawasan Putrajaya juga merupakan antara lokasi popular berlaku kemalangan lebih-lebih lagi ketika hujan lebat kerana jalan licin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini tadi.
Terdahulu, tular di laman media sosial beberapa kenderaan terbabas selepas jalan yang dilalui mereka licin dikatakan akibat tumpahan minyak.
Rakaman video itu turut memaparkan kejadian seorang penunggang motosikal menjadi mangsa kemalangan secara ‘live’ disebabkan jalan licin. – KOSMO! ONLINE