fbpx

Kedah sudah umum buka kilang REE tahun lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi (kanan) melihat hasil tuaian padi pada Majlis Perasmian Tuaian Projek Padi Benih Smart SBBA LZNK di Yan, hari ini. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

YAN – Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan dasar larangan eksport bahan mentah unsur nadir bumi (REE) yang disifatkan mampu memberi impak besar kepada kemajuan negara ini, khususnya Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, malah kerajaan negeri pernah membangkitkan cadangan yang sama termasuk membuka kilang REE di negeri ini sejak setahun lalu.

“Itu juga (larangan eksport REE) hasrat kerajaan negeri dan saya sudah umum setahun dahulu. Hasrat kita nak kilang buka di sini tahun lepas, sebab itu kita lambat tak apa, tak ada prosedur operasi standard (SOP) pun tak apa.

“Kita tak kalut, yang kalut yang curi REE itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Tuaian Projek Padi Benih Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (Smart SBBA) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di Padang Lumat, di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Kajian Separuh Rancangan Malaysia Ke-12 kelmarin bahawa kerajaan akan membangunkan dasar tersebut bagi mengelak eksploitasi dan kehilangan sumber REE sekali gus menjamin pulangan maksimum kepada negara.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk menawarkan beberapa kawasan perindustrian di negeri ini sebagai tapak pembinaan kilang REE itu.

“Kita sudah tawarkan beberapa kawasan tapak industri kita untuk pembinaan kilang REE di Gurun dekat Kuala Muda, Padang Meha dan Sungai Ular di Kulim. Kita ada tapak kawasan tanah-tanah industri milik PKNK dan swasta untuk bangunkan kilang REE di sini.

“Kita berterima kasih atas pengumuman dasar-dasar itu. Kawasan ini dipilih berdasarkan kedudukannya yang strategik dan bila kerajaan ada keputusan macam itu, mahu tak mahu teknologi akan berpindah masuk ke sini. Saya setuju, kita sokong lambat sikit pun tak apa,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI