KOTA BHARU – Masjid Ar-Rahman Mukim Lata Rek dekat Kuala Krai memerlukan dana sebanyak RM5 juta bagi menggantikan struktur binaan lama masjid itu yang sudah berusia lebih 40 tahun lalu.
Pembinaan masjid berkenaan dijangka bermula awal tahun depan sekiranya peruntukkan kewangan sudah mencukupi hasil daripada sumbangan orang ramai.
Pengerusi Masjid Al-Rahman, Abdul Rahman Yaakob berkata, dia bersama ahli jawatankuasa masjid berkenaan mengalu-alukam sumbangan penderma agar pembinaan masjid boleh dijalankan dengan segera.
Katanya, masjid tersebut akan dibina di atas tapak asal yang telah memiliki pelbagai kemudahan khususnya untuk menampung kira-kira 400 jemaah dalam satu-satu masa.
“Masjid yang terletak berdekatan dengan Istana Sangkut itu dijangka akan menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
“Kedudukan masjid Ar-Rahman berada kira-kira satu kilometer dari jalan alternatif Kuala Krai – Gua Musang yang menghubungkan pengguna jalan raya dengan pusat peranginan dan pelancongan air terjun Lata Rek,” katanya pada sidang akhbar pihak masjid dan Yayasan Pembangunan Usahawan Kelantan (YPUK) di sini hari ini.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdullah Yaakob; Pengerusi YPUK, Hanafi Yusoff dan Pengurus Pembinaan Masjid Ar-Rahman, Abd.Halim Yusuf.
Jarak daripada masjid ke Istana Sangkut adalah kira-kira tiga kilometer
Sementara itu, Pengurus Projek Abd. Halim Yusuf berkata, YouTuber terkenal, Syahmi Sazli dijangka akan membantu mempromosikan mengenai kutipan untuk pembinaan Masjid Al-Rahman.
Beliau berkata, dengan cara itu, ia diharap mampu menarik lebih ramai penderma yang tampil menyalurkan sumbangan.
“Saya yakin kerjasama yang diberikan oleh pihak Syahmi Sazli nanti lebih banyak kutipan yang diterima,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh melalui Bank Rakyat 11-0157663-3 di bawah akaun Masjid Ar-Rahman Mukim Lata Rek atau boleh menghubungi Tuan Siti Suhajira Tuan Soh di 013-991 1383.-K! ONLINE