ALOR SETAR – Pengunjung Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar gempar apabila satu mayat lelaki ditemui dalam keadaan berlumuran darah di satu ruang pendingin hawa di bangunan tersebut, hari ini.
Mayat mangsa berusia 39 tahun yang dipercayai terjatuh dari bangunan berkenaan ditemui seorang pengunjung UTC berusia 25 tahun kira-kira pukul 10.15 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memberitahu, individu terbabit menemui mayat mangsa ketika mahu menunggu pemandu Grab setelah selesai berurusan di pejabat imigresen.
“Saksi melihat terdapat seseorang terbaring di dalam ruangan pendingin hawa bangunan UTC sebelum bertindak menghampirinya.
“Dia kemudian mendapati mangsa merupakan seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan mengesyaki mangsa telah meninggal dunia sebelum menghubungi polis di talian 999,” katanya, di sini hari ini.
Kata beliau, polis seterusnya menjalankan siasatan di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini untuk proses bedah siasat.
“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE