AMPANG – Gara-gara bertanyakan hutang makanan yang belum dilangsaikan, pekerja restoran warga asing cedera dipukul lelaki bersenjata di hadapan sebuah restoran sekitar Lorong Pandan Pertama 5, Pandan Utama, di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mangsa berusia 34 tahun telah dipanggil oleh suspek yang sedang melepak di bengkel motosikal bersebelahan dengan restorannya pada pukul 6 petang.
Katanya, mangsa yang berjumpa suspek di bengkel berkenaan telah dibaling dengan rantai besi bersama ‘padlock’ bahkan kepalanya nyaris dipukul menggunakan rantai besi.
“Suspek juga menarik mangsa dan mengacu pisau namun telah ditahan oleh pekerja restoran.
“Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan sakit, bengkak di jari telunjuk sebelah kiri dan jari kelingking kanan dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Azam, punca kejadian adalah disebabkan mangsa bertanya kepada suspek mengenai bayaran hutang yang tidak dibayar oleh suspek beberapa kali sebelum ini.
“Kita telah menangkap lelaki tempatan berusia 41 tahun berhampiran tempat kejadian pada pukul 6.01 petang.
“Semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau kesalahan jenayah tidak dikehendaki dan ujian awal saringan air kencing adalah positif dadah jenis Benzo,” katanya.
Jelasnya, permohonan reman dibenarkan selama empat hari sehingga Sabtu ini manakala kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. – KOSMO! ONLINE.