KUALA NERANG – Kegiatan penyeludupan daun ketum ke Thailand didalangi empat lelaki tumpas apabila mereka ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari Kem Sahara di sebuah ladang getah di Durian Burung dekat sini semalam.
Empat suspek berusia antara 22 hingga 27 tahun itu ditahan bersama 13 guni berisi daun ketum seberat 379 kilogram (kg) dianggarkan bernilai lebih RM4,000 kira-kira pukul 3 petang.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar memberitahu, suspek terdiri daripada tiga warga tempatan dan seorang warga Thailand yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Mereka disyaki mahu menyeludup daun ketum itu ke Thailand dengan menggunakan motosikal yang mana warga Thailand dipercayai berperanan sebagai pemandu arah ke lorong tikus,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap di sini hari ini.
Kata beliau, semua suspek dipercayai mengambil upah sebanyak RM50 bagi setiap guni yang diseludup ke negara jiran setiap kali mendapat permintaan.
“Mereka disyaki melakukan kegiatan penyeludupan daun ketum menggunakan motosikal sejak enam bulan lalu.
“Kumpulan penyeludup ini juga kerap menukar tempat dan masa untuk melakukan penyeludupan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” ujarnya.
Tambah beliau, semua suspek yang tidak bekerja melakukan kegiatan berkenaan untuk menyara kehidupan. – K! ONLINE