fbpx

Remaja lahir anak dalam tandas, campak atas bumbung rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA polis mengangkat bayi lelaki yang dicampakkan ke atas bumbung rumah dalam kejadian di Taman Seri Dermawan, Bercham hari ini.

IPOH – Remaja perempuan berusia 16 tahun yang mencampakkan bayi lelakinya ke atas bumbung rumah dalam kejadian di Taman Seri Dermawan, Bercham di sini semalam dipercayai melahirkan bayi tersebut di dalam tandas seorang diri.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan polis di tempat kejadian mendapati terdapat kesan darah di cadar dan jeriji besi tingkap biliknya di tingkat dua.

“Suspek dipercayai melahirkan bayi tersebut di dalam tandas sebelum menggunting tali pusat bayi menggunakan gunting dan membuangnya ke atas bumbung rumah.

“Temubual dengan ahli keluarga mendapati ibunya tidak mengetahui suspek mengandung dan hanya menyangka pertambahan berat badan anaknya itu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala adik suspek turut tidak menyedari keadaan kakaknya itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah A. Asmadi, bayi tersebut kini masih dalam keadaan kritikal dan diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi, Hospital Raja Permaisuri Bainun manakala suspek turut dirawat di hospital sama.

“Suspek masih di tahan di wad memandangkan masih lagi mengalami pendarahan dan uri bayi tersebut masih berada di dalam rahim,” katanya.

Menurutnya lagi, ibu suspek keluar ke pasar dan tiada di rumah manakala bapanya yang merupakan pemandu lori juga sedang bekerja ketika kejadian itu berlaku.

“Jiran suspek pada awalnya terdengar bunyi dentuman di atas bumbung rumah dan apabila menjenguk ke luar tingkap, dia melihat seorang bayi yang masih bertali pusat sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

“Suspek juga tidak mahu mengaku bayi tersebut merupakan anaknya namun selepas didesak, dia akhirnya mengangguk dan memberitahu dia terlanjur dengan teman lelakinya yang tinggal di Rawang,” katanya.

Difahamkan remaja berkenaan dan keluarganya tinggal di Rawang sebelum ini sebelum berpindah ke Ipoh kira-kira sebulan yang lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuang bayi berkenaan. K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI