PETALING JAYA – Mencari kelainan dengan menikmati pizza yang dijual pada harga berpatutan dengan pilihan variasi enak di tingkat 51 sebuah hotel yang terletak di lokasi strategik di segitiga emas pastinya memberi keterujaan kepada mereka yang berkunjung ke The Face Suites Kuala Lumpur (KL).
Berlatar belakangkan pemandangan indah daripada Menara Berkembar KL dan juga Menara KL, keberadaan pengunjung di kafe Deep Blue tingkat 51, hotel tersebut pada waktu malam selain menikmati juadah lazat itu, pastinya akan memberi pengalaman indah lagi mendamaikan khususnya bagi mereka yang mahu merihatkan minda daripada kesibukan kerja sepanjang hari.
Sous Cef hotel tersebut, Mohamad Aslam Mohammad Aminuddin berkata, The Face Suites KL mencari kelainan dengan menawarkan makanan barat popular itu dengan enam pilihan variasi menu iaitu Hawaiian Chicken, Beef Pepperoni, Margherita, Mushroom & Herbs, Chicken Satay dan Barbeque Chicken.
Harga yang ditawarkan adalah RM55 untuk satu piza beserta dua minuman ringan.
Selain itu turut dihidangkan makanan klasik Malaysia seperti nasi goreng kampung, laksa nyonya dan lain lain makanan pada harga berpatutan.
“Ini adalah lokasi bersesuaian untuk pengunjung berihat bersama keluarga atau orang tersayang atau mahu bersendirian sambil menikmati pemandangan indah dari tingkat 51 bangunan ini selain menjamu selera makanan yang kami sediakan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
The Face Suites KL adalah sebuah hotel bertaraf lima bintang yang menyediakan penginapan serba mewah dengan hiasan moden dan bergaya mampu memberi kelainan dalam pengalaman percutian kepada pengunjung tempatan termasuk pelancong asing.
Hotel yang telah beroperasi sejak tujuh tahun lalu itu memiliki 200 bilik serba moden dengan lapan jenis kategori selain lengkap dengan kemudahan peti sejuk yang besar, dapur memasak serta mesin basuh dan pengering (mengikut kategori bilik), lebih luas dan juga selesa. -KOSMO!ONLINE