PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyuarakan rasa terharu melihat sambutan rakyat Sabah dan Sarawak sepanjang Kembara Kenali Borneo yang sudah mencapai penghujungnya, semalam.
Menurut Seri Paduka Baginda, kelewatannya pada malam tersebut bukanlah sesuatu yang disengajakan, malah ia berlaku disebabkan sambutan rakyat Sabah dan Sarawak di luar jangkaan.
“Saya jangka satu atau dua jam lewat, tetapi ini sudah lebih daripada empat, lima jam. Kelewatan tersebut disebabkan sambutan yang diterima oleh saya dan keluarga begitu meriah serta di luar dugaan.
“Saya dimaklumkan, sambutan sebegini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan dan tidak pernah berlaku sebelum ini,” titah Seri Paduka Baginda di Majlis Penutup dan Santapan Kerajaan Negeri Sarawak sempena Kembara Kenali Borneo, semalam.
“Hampir setiap rakyat di sepanjang lebuh raya menunggu rombongan saya. Ini satu sejarah bagi saya dan keluarga dan sudah tentu ia akan menjadi kenangan manis buat selama-lamanya.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua orang yang menunggu rombongan ini. Tidak ada masa untuk saya berehat kerana setiap kali saya berhenti, ada sahaja (rakyat yang menunggu) sepanjang jalan.
“Saya sangat terharu dengan sambutan yang diterima dan hanya Allah sahaja yang dapat membalas kesudian yang begitu ikhlas menunggu kedatangan saya,” titahnya.
Seri Paduka Baginda bertitah, tujuan kembara tersebut dijalankan adalah untuk mengenali rakyat Sabah dan Sarawak dengan lebih dekat.
“Kembara ini adalah satu kesempatan menghulur atau membina jambatan baharu yang tidak ada sungai. Jambatan itu adalah jambatan silaturahim. Kehadiran saya, keluarga saya, rombongan saya adalah mewakili sebahagian daripada rakyat di Semenanjung.
“Saya mewakili Raja-Raja Melayu menghulur tangan kepada semua sebagai satu keluarga negara Malaysia yang kita cintai ini,” titahnya.
Ketibaan rombongan Al-Sultan Abdullah di Kuching, semalam, menandakan berakhirnya Kembara Kenali Borneo bagi Sarawak yang merangkumi jarak sejauh 1,194 kilometer sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
Kembara selama 11 hari itu melibatkan perjalanan jarak sejauh 2,154 km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei. – KOSMO! ONLINE