PETALING JAYA – “Saya minta maaf tak dapat beri komen kerana emosi belum stabil.”
Itu respons isteri Allahyarham Raymond Goh, Faridah Teh yang menolak untuk ditemu bual mengenai pemergian suami tercinta hari ini.
Berpakaian serba putih dan kelihatan sugul, Faridah bagaimanapun menghargai setiap doa dan kehadiran keluarga, rakan serta orang ramai sepanjang proses pengebumian suaminya.
“Saya hargai kehadiran anda semua pada hari ini.
“Sekiranya ingin mendapatkan sebarang maklumat, boleh hubungi penerbit program Nightline, Amelia Azharul Nahar,” katanya kepada HibGlam selepas majlis pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara hari ini.
Sementara itu, Emilia ketika ditemui Kosmo! Online berkata, Allahyarham pernah mengadu mengalami kebas pada bahagian kanan badan sebelum ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Ketika itu, arwah sedang minum bersama rakan-rakan dan tiba-tiba mengadu rasa kebas di beberapa anggota badan.
“Selepas itu, dia pergi sendiri ke hospital untuk buat pemeriksaan lanjut.
“Kemudian, selepas menjalani rawatan imbasan CT, doktor memaklumkan keadaan kesihatannya agak kritikal sebelum ditidurkan,” jelasnya.
Tambahnya, kali terakhir Allahyarham berkhidmat sebagai pembaca berita Nightline ialah pada 27 Ogos lalu.
Menyifatkan pemergian Raymond sebagai satu kehilangan besar, Emilia memberitahu Allahyarham memiliki keperibadian yang sangat disenangi ramai.
“Jika tanya sesiapa pun, tiada yang akan cakap perkara buruk mengenai Raymond. Dia tidak kedekut ilmu, peramah dan suka mengambil gambar rakan sekerja secara rawak untuk simpanan sebagai tanda kenangan malah sangat kuat menyakat.
“Tiada siapa yang tak suka Allahyarham,” ujarnya yang sudah lapan tahun bekerja bersama Raymond.
Hari ini, dunia kewartawanan tanah air kehilangan seorang tokoh apabila Raymond disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta sekitar pukul 10.40 pagi.
Berita duka tersebut dimaklumkan keluarga Allahyarham dalam satu kenyataan kepada Buletin TV3 hari ini.
Jenazah Allahyarham Rarmond Goh atau Muhammad Zaman Goh Abdullah, 62, selamat dikebumikan sekitar pukul 5.25 petang di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Bukit Kiara.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Faridah Teh dan anak tiri dikenali sebagai Fendi.
Terdahulu, Raymond yang bertugas lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya pada 30 Ogos lalu.
Goh memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O’clock News sebelum beralih kepada Nightline di TV3. – KOSMO! ONLINE