WALAUPUN sudah berada dalam kelompok 10 teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF), namun beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei digesa supaya tidak mudah berpuas hati dengan kedudukan itu.
Jurulatih beregu campuran kebangsaan, Nova Widianto percaya anak-anak buahnya itu berada di landasan tepat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menampilkan aksi cukup konsisten setakat ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, perjalanan masih panjang buat Tang Jie-Ee Wei memandangkan masih banyak kejohanan perlu disertai sebelum saingan kelayakan ke Olimpik berakhir 28 April tahun depan.
Justeru, Nova berharap pasangan negara itu meneruskan momentum cemerlang apabila dijadualkan turun beraksi pada pusingan pertama kejohanan Terbuka Hong Kong yang berlangsung di Hong Kong Coliseum hari ini.
“Dengan hasil (ranking) ini tentu sahaja peluang ke Olimpik lebih cerah tetapi perjalanan masih panjang kerana perlu hadapi banyak lagi kejohanan, namun Tang Jie-Ee Wei sudah ada di landasan tepat.
“Bagi aksi di Hong Kong, kita sasar untuk dapatkan mata kelayakan iaitu sekurang-kurangnya mara ke suku akhir. Sekiranya, dapat melangkah lebih jauh ke separuh akhir, itu lebih bagus,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei melakar sejarah tersendiri apabila mara ke separuh akhir pada kejohanan Terbuka China minggu lalu sebelum tewas 16-21, 13-21 kepada beregu Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Kejayaan mereka melangkah buat kali pertama ke separuh akhir bagi saingan Jelajah Dunia Super 1000 itu sekali gus menyaksikan kedudukan Tang Jie-Ee Wei melonjak dari No.11 ke No.9 dunia sebaik sahaja ranking BWF dikemas kini.
Untuk rekod, beregu yang digandingkan sejak November tahun lepas itu mengharungi musim cukup cemerlang apabila mereka berjaya meraih tiga kejuaraan tahun ini termasuk Cabaran Antarabangsa Iran pada Februari, Orleans Masters (April) dan Terbuka Taiwan Jun lalu.