fbpx

Sasaran pingat tanpa warna di Hangzhou

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTINJEN Malaysia tidak meletakkan sasaran pingat spesifik pada Sukan Asia Hangzhou, China 2022 kerana enggan atlet dibelenggu tekanan semasa beraksi. - AFP

PENCAPAIAN diraih kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Hangzhou, China 2022 yang bermula 23 September ini bakal menjadi penentu sama ada pendekatan sasaran pingat secara keseluruhan akan diteruskan atau tidak pada masa hadapan.

Setiausaha Agung Majlis O­limpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd. Nazifuddin Najib berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk menggunakan pendekatan itu pada temasya-temasya sukan lain bergantung kepada keputusan di Sukan Asia.

Tambah beliau, sebaik saingan Sukan Asia 2022 tamat, pihaknya akan mengadakan post mortem serta perbincangan memandang­kan ini adalah kali pertama kontinjen Malaysia mempraktikkan sistem sasaran pingat keseluruhan tersebut.

“Buat pertama kali kita cuba untuk amalkan sasaran pingat keseluruhan ini. Kita akan tengok dahulu keputusan pada Sukan Asia nanti, kemudian kita akan buat post mortem dan mengadakan perbincangan.

“Olimpik mungkin berbeza sedikit kerana kita ada jawatankuasa khas dan berdasarkan kelayakan. Jadi kita akan lihat keputusan Sukan Asia sama ada untuk teruskan atau tidak sistem ini,” katanya.

Terdahulu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt mengumumkan kontinjen negara meletakkan sasaran 27 pingat keseluruhan tidak mengira warna pada temasya sukan di Benua Asia empat tahun sekali itu.

Langkah tersebut dibuat ke­rana mengambil contoh Australia dan Jepun yang tidak meletakkan sasaran pingat spesifik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain enggan barisan atlet dibelenggu tekanan semasa beraksi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menganggap pendekatan tersebut bukanlah langkah ke belakang kerana ia turut dipraktikkan Australia dan Jepun yang merupakan kuasa besar sukan dunia.

“Kalau anda tengok Australia, adakah mereka ambil langkah ke belakang? Jepun yang merupakan satu lagi antara negara terbaik Asia dan mempunyai ranking di Olimpik, adakah mereka juga mengambil langkah ke belakang?

“Penganalisis (sukan) perlu lihat kepada trend di mana negara luar mula menggunakan amalan ini bagi mengurangkan tekanan kepada atlet bagi membolehkan mereka beraksi pada tahap terbaik di Olimpik dan Sukan Asia,” ujarnya.

Untuk rekod, pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, kontinjen Malaysia membawa pulang 36 pingat keseluruhan yang terdiri daripada tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI