JOHOR BAHRU – Kira-kira 1,300 penduduk di Kampung Pasir Gudang Baru di sini berdepan masalah pencemaran apabila air Sungai Masai bertukar menjadi hitam.
Pencemaran yang memasuki hari ketiga hari ini meresahkan penduduk kampung terutama 45 orang nelayan pantai yang berdepan situasi sukar apabila terpaksa berdepan masalah pencemaran tersebut.
Pengerusi Nelayan Wilayah Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, masalah air bertukar hitam ini sudah banyak kali berlaku dan hampir setiap bulan.
Menurutnya, sudah banyak kali aduan telah dibuat kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Indah Water Konsortium tetapi masih tidak dapat diselesaikan.
“Saya pun tak tahu bila masalah pencemaran air hitam ini akan segera selesai, aduan telah dibuat banyak kali tetapi masih tdak ada penyelesaian.
“Pegawai mereka ada datang, tetapi setakat memantau dan mengambil sampel air, itu saja yang dilakukan tetapi masih lagi berlaku pencemaran,”katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Azli berkata, pencemaran air Sungai Masai dipercayai berlaku berikutan loji kumbahan yang tidak diselenggarakan dengan sempurna yang melepaskan air yang belum diproses ke sungai.
Sementera itu, Ketua Kampung Pasir Gudang Baru, Daud Saad kesal dengan kejadian yang berlaku di Sungai Masai.
Segala macam aduan, laporan telah dihantar kepada JAS, MBPG dan Indah Water Konsortium tetapi tetap berlaku air sungai bertukar hitam.
Dalam pada itu, seorang nelayan, Alimman Jamat, 50, berkata, dia berharap ada pihak yang dapat membantu menyelesaikan masalah air sungai yang hitam ini kembali pulih seperti sedia kala.
“Saya terpaksa menangkap ikan diluar pantai kerana keadaan persisiran untuk menangkap ikan tercemar dengan kualiti air yang kotor,” katanya. – KOSMO! ONLINE