fbpx

Dewan Rakyat: Hentikan subsidi pukal, tambah bantuan tunai – Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menukar pemberian subsidi pukal kepada pemberian subsidi bersasar dengan segera bagi mengelakkan isu penyelewengan dan penyeludupan barang bersubsidi berterusan.

Bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penjimatan daripada pemberhentian subsidi pukal boleh diagihkan kepada rakyat sebagai tambahan kepada bantuan tunai sedia ada.

“Pendekatan progresif dalam mengagihkan subsidi perlu diambil oleh kerajaan dengan menggantikan subidi pukal kepada subsidi bersasar secepat mungkin. Kita sudah terlalu lama bercakap mengenainya. Saya harap kita jangan tunggu lagi kerana kedudukan kewangan kerajaan juga agak kritikal dengan hutang yang begitu tinggi.

“Penjimatan daripada pemberhentian subsidi pukal boleh digantikan kepada pengagihan tunai secara terus yang lebih banyak kepada kumpulan B40 dan M40. Kalau duit kita habis pun sampai kepada sasaran.

“Pelaksanaan bersubsidi bersasar juga membantu kedudukan fiskal kerajaan dan mencapai sasaran menurunkan defisit fiskal,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Johari berkata, tahun lepas kerajaan membelanjakan RM77.3 bilion untuk pelbagai jenis subsidi termasuk petrol, diesel, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak peket, elektrik, ayam, telur dan tahun ini kerajaan mengunjurkan RM64 bilion untuk perbelanjaan subsidi.

Kata beliau, subsidi membantu mengurangkan kos sara hidup, namun ia juga memberi kesan negatif seperti mendedahkan kepada ketirisan dalam bentuk penyeludupan dan salah guna oleh golongan yang tidak sepatutnya menerima subidi.

Kata beliau, dalam ucapan Bajet 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan negara kerugian RM10 bilion subsidi diesel disebabkan oleh penyelewangan dan penyeludupan.

“Jumlah RM10 bilion ini kalau kita salurkan kepada (pembinaan) rumah mampu milik, kerajaan boleh membina sebanyak 50,000 unit rumah mampu milik setiap tahun.

“Saya tidak nafikan keperluan penguatkuasaan lebih ketat, tetapi ia tidak akan dapat menghalang ketirisan daripada terus berlaku sekiranya perbezaan harga bersubsidi dan harga sebenar di pasaran adalah besar,” katanya.

Beliau turut memberi contoh bekalan minyak masak peket bersubsidi RM2.50 satu kilogram sebanyak 60 juta peket sebulan bermaksud setiap rumah golongan B40 boleh memiliki 18 peket sebulan.

“Tetapi ia tidak sampai kepada pengguna yang layak sedangkan jumlah itu terlalu besar. Ini adalah berpunca daripada penyelewengan dan penyeludupan.

“Subsidi pukal juga bersifat regresif yang sebenarnya memberi lebih manfaat kepada kumpulan berpendapatan tinggi.

“Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan kumpulan T20 menikmati 42 peratus daripada subsidi petrol, manakala kumpulan B40 hanya menikmati 14 peratus subsidi tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI