MELAKA – Empat lelaki diberkas selepas disyaki menjalankan aktiviti penjualan minyak diesel bersubsidi secara haram dengan membuka stesen minyak mini menggunakan dua buah premis di Paya Rumput, di sini.
Kesemua suspek warga tempatan berusia 20-an sehingga 40-an itu ditahan sepasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman tengah malam tadi sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos sara Hidup (KPDN) negeri pada pukul 11 pagi.
Pengarah KPDN Melaka, Norena Jaafar berkata, suspek dipercayai telah mengumpul kira-kira 25,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai anggaran RM87,500 menggunakan tangki minyak sebelum menjualnya semula secara haram.
Jelasnya, suspek menggunakan dua buah premis untuk menjalankan kegiatan tersebut dengan satu daripadanya digunakan sebagai stor penyimpanan, manakala satu lagi sebagai stesen minyak mini haram bagi kenderaan industri masuk dan mengisi diesel.
“Modus operandi sindiket ini telah berubah, mereka tidak lagi keluar menghantar minyak sebaliknya lori-lori industri terlibat akan datang ke premis haram ini untuk mengisi minyak diesel pada harga lebih rendah berbanding pasaran.
“Ada satu lubang kecil dibuat pada dinding untuk menghubungkan tiub penyalur yang menyedut minyak diesel daripada tangki penyimpanan di sebelah ke lori pelanggan, kaedah ini seakan-akan di stesen minyak berdaftar, tetapi ini mini punya lah,”katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan di Paya Rumput, di sini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak dua bulan lalu dan suspek turut tinggal di premis berkenaan berdasarkan kemudahan dibina termasuk tandas dan dapur memasak.
“Mereka bagaimanapun masih menggunakan taktik lama untuk mengumpul diesel iaitu dengan mengisi minyak dari stesen minyak sekitar Melaka menggunakan lori diubah suai.
“Suspek yang ditahan ini hanyalah pekerja. Ada yang pergi membeli minyak diesel, ada pemandu dan pelanggan mereka tertumpu kepada syarikat industri di kawasan ini,” katanya.
Ujarnya, kesemua bekalan dan barangan termasuk kenderaan digunakan bagi kegiatan tersebut yang bernilai keseluruhan RM320,000 dirampas, manakala suspek ditahan mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 dan Seksyen 20(1) Akta yang sama. – KOSMO! ONLINE