fbpx

Ho Ying belum terlintas bergelar influencer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HO YING pernah meraih pingat dalam tiga temasya Sukan Komanwel berturut-turut sejak 2014. - INSTAGRAM HO YING

PEMAIN ping pong berpengalaman negara, Ho Ying tidak terlintas untuk beralih karier sebagai pencipta kandungan sepenuh masa kerana masih mahu menabur bakti kepada Malaysia dalam sukan kegemarannya itu.

Ho Ying, 28, mempunyai jumlah pengikut yang tinggi di laman sosial peribadi sehingga mendapat jemputan menghadiri majlis karpet merah pada Anugerah TikTok Malaysia 2023 bulan lalu.

Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu merasakan masih ada tugasan belum selesai walaupun sudah 14 tahun mewakili skuad kebangsaan sejak membuat debut antarabangsanya ketika berusia 14 tahun pada 2009.

“Menjadi influencer atau content creator (pencipta kandungan) bukan karier baharu tetapi kalau ada masa terluang saya akan buat kerana fokus masih bersama pasukan kebangsaan. Belum masanya lagi untuk fikir ke arah sepenuh masa.

“Kalau pergi mana-mana pertandingan dan menang, ia meningkatkan lagi semangat dan motivasi saya. Badan saya juga masih boleh tahan untuk lebih dua tahun lagi di kejohanan kompetitif tinggi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

HO YING (kanan) masih memberikan fokusnya bersama skuad kebangsaan. – AFP

Pemain dari Johor itu enggan menjadikan kekecewaanya tewas awal dalam kategori perseorangan wanita, beregu wanita dan berpasukan wanita pada Kejohanan Ping Pong Asia 2023 di Pyeongchang, Korea Selatan yang berakhir kelmarin.

Bagi Ho Ying, ia tidak mematahkan semangatnya untuk cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik walaupun menyedari peluangnya amat tipis menjelang penganjuran edisi Paris 2024 di Perancis tahun depan.

“Undian di Kejohanan Asia memang tiada tuah kerana bertemu pemain China, Korea Selatan dan Taiwan di pusingan awal. Memang susah tetapi dari sudut positif saya dapat peluang belajar bagaimana nak berlawan dengan China.

“Olimpik tahun depan, masih ada ruang tetapi realistiknya memang susah sebab sekarang dah hampir hujung tahun untuk cuba kutip mata kelayakan,” jelas Ho Ying yang turut meraih perak Sukan Komanwel Glasgow 2014 dan gangsa Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN