KOTA BHARU – Sebanyak 39 klinik kesihatan dan klinik desa di negeri ini yang sudah dinaik taraf dijangka beroperasi sepenuhnya pada bulan depan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, kerja-kerja penambahbaikan klinik daif berkenaan membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM9.4 juta.
Menurutnya, 39 projek menaik taraf klinik yang terlibat itu dilaksanakan awal tahun ini dan ia akan beroperasi sepenuhnya pada Oktober.
“JKNK kini sedang dalam proses menyenaraikan klinik kesihatan yang daif untuk dinaik taraf pada tahun depan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam.
“Kita amat menghargai dan menyambut baik pengumuman itu. Selain klinik daif, klinik pergigian juga akan dinaik taraf pada tahun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Minggu Kesedaran Pendermaan Organ, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah HRPZ II, Datuk Dr. Abdul Haris Muhammad dan Pakar Anestesiologi HRPZ II, Dr. Azaharim Omar.
Terdahulu, Perdana Menteri semalam mengumumkan sebanyak 1,200 klinik daif di seluruh negara akan dinaik taraf untuk tempoh 2023 hingga 2025 bagi menjamin mutu perkhidmatan.
Anwar berkata, kerajaan juga bersetuju untuk menyegerakan projek naik taraf fasa pertama di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Menurutnya, projek itu membabitkan anggaran kos sebanyak RM500 juta bagi menangani masalah kesesakan yang telah lama berlanjutan. – KOSMO! ONLINE