fbpx

Raymond, kehilangan besar buat dunia kewartawanan – Ras Adiba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAS Adiba sifatkan pemergian Raymond sebagai satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan tanah air.

PETALING JAYA – Bekas senator yang juga aktivis orang kelainan upaya (OKU), Datuk Ras Adiba Radzi menyifatkan pemergian penyampai berita veteran, Allahyarham Raymond Goh atau nama Islamnya, Muhammad Zaman Goh Abdullah sebagai satu kehilangan besar buat dunia kewartawanan negara.

Ras Adiba berkata, beliau dan Allahyarham adalah perintis atau generasi awal sewaktu TV3 mula ditubuhkan pada 1984.

“Satu kehilangan yang besar dalam dunia kewartawanan dan media massa. Raymond ialah antara pembaca berita yang baharu sewaktu TV3 dilancarkan dahulu.

“Kami seangkatan. Kami lama bertugas bersama pada awalnya di O’clock News dan kemudian, beliau di Nightline. Ini adalah satu kekosongan yang sukar untuk diganti kerana sebelum Raymond, saya turut kehilangan dua sahabat iaitu Robert Lam dan Mahadzir Lokman.

“Ramai yang bertuah dapat bekerja dengan arwah namun bagi kami yang daripada angkatan pertama TV3, ini adalah kehilangan yang besar sekali,” katanya dalam nada sebak.

Berbicara tentang keperibadian Allahyarham Raymond, Ras Adiba memaklumkan, penyampai bersuara emas itu sebagai seorang yang sangat profesional dan periang.

“Beliau suka bergurau namun pada masa sama, sangat serius (apabila bekerja).

“Beliau disenangi kerana disiplinnya. Kalau nak baca berita, beliau akan datang awal sebab cara kerjanya memang begitu.

“Sangat baik hati dengan semua orang dia akan bertegur sapa. Dia tak pernah rasa dirinya seorang senior.

“Tidak lokek pengalaman. Dia suka mengajar. Selalu beri kata-kata semangat termasuk buat sesiapa di luar sana,” ujarnya.

Hari ini, dunia kewartawanan tanah air kehilangan seorang tokoh apabila penyampai berita Nightline, TV3, Raymond Goh disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta sekitar pukul 10.40 pagi tadi.

Perkara duka tersebut dimaklumkan keluarga Allahyarham dalam satu kenyataan kepada Buletin TV3 hari ini.

Menurut isteri Allahyarham, Faridah Teh, solat jenazah akan diadakan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur selepas solat Asar dan akan dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Terdahulu, Raymond yang bertugas lebih 30 tahun dalam dunia penyiaran berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar dan dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya pada 30 Ogos lalu.

Goh memulakan kerjaya sebagai penyampai berita di 7 O’clock News dan sebelum beralih kepada Nightline di TV3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI