PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutuskan salam takziah kepada keluarga penyampai berita Allahyarham Raymond Goh atau Mohd. Zaman Goh yang meninggal dunia, pagi tadi.
“Saya mendoakan semoga mereka tabah menghadapi dugaan ini.
“Dunia penyiaran akan merindui Allahyarham dan sudah pastinya juga, jasa beliau akan terus dikenang buat selama-lamanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan Mohd. Zaman disahkan meninggal dunia pada pukul 10.40 pagi, di sebuah hospital dekat sini.
Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas diserang angin ahmar.
Untuk rekod, Mohd. Zaman yang terkenal dengan penampilannya dalam slot Nightline terbitan TV3, dianggap sebagai pemberita bersuara ’emas’ dengan pengalaman lebih tiga dekad dalam dunia penyiaran. – KOSMO! ONLINE