fbpx

Dua nelayan dicekup jadi ‘transporter’ syabu bernilai RM660,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Asri Shafie (tengah), menunjukkan pek teh hijau berisi dadah jenis syabu bernilai keseluruhan RM660,000 pada sidang akhbar di IPD Seberang Perai Utara, hari ini.

SEBERANG PERAI – Polis merampas hampir 21 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM660,000 selepas menahan dua nelayan yang berperanan sebagai ‘transporter’ dalam serbuan di Penaga, Kepala Batas di sini, Sabtu lalu.

Menerusi serbuan sekitar 7 petang itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU) menahan kedua-dua suspek berusia 50 dan 42 tahun.

Ketua Polis IPD SPU, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, kedua-duanya ditahan ketika berada di dalam kereta berhampiran jeti Kuala Bekah.

“Berdasarkan risikan awal, bekalan syabu yang dipek dalam 20 bungkusan teh Cina itu dibawa dari Kuala Lumpur dan akan dihantar ke Indonesia melalui jeti terbabit.

“Kedua-dua suspek ini ditugaskan untuk menghantar bekalan terbabit dan menerima upah sebanyak RM4,000 bagi setiap kg syabu yang dibawa.

“Turut dirampas adalah sebuah bot gentian kaca milik salah seorang suspek dan sebuah kereta Toyota Harrier menjadikan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM860,000,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kedua-dua suspek aktif melakukan aktiviti berkenaan sejak awal tahun ini dengan seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah dadah.

“Ujian saringan air kencing pula mendapati kedua-kedua mereka positif dadah jenis syabu. Suspek direman selama enam hari dan akan berakhir Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI