SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga emas ditemui lemas bersama cucunya di dalam kolam terbiar berdekatan restoran ikan bakar di Taman Kempas dekat sini malam tadi.
Mayat lelaki berumur 78 tahun dan cucunya berusia setahun tujuh bulan ditemui oleh seorang pekerja restoran itu pada pukul 7.20 malam tadi sebelum memaklumkan kepada MERS 999.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya kemudian bergegas ke lokasi dan mengeluarkan kedua-dua mangsa dari dalam kolam sedalam satu meter itu.
“Temu bual dengan bapa kanak-kanak malang itu mendapati, setiap petang lelaki warga emas itu akan membawa cucunya berjalan-jalan selepas diambil daripada ibunya yang bekerja di sebuah kedai makan di Taman Kempas.
“Tetapi sehingga pukul 7 malam tadi dua beranak itu tidak pulang menyebabkan bapanya risau dan keluar mencari, tetapi terkejut apabila mendapati bapa dan anak lelakinya ditemui terapung di dalam kolam itu,” katanya.
Kata Zaidy, pemeriksaan terhadap kedua-dua mangsa dan lokasi kejadian tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah.
Mayat dua beranak itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk bedah siasat. manakala kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – KOSMO! ONLINE