SEBERANG PERAI – Seorang pekerja menjumpai sebutir bom tangan di tapak pengurusan sisa pepejal di Ampang Jajar di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan bahan api tersebut pada pukul 1.30 petang.
Menurutnya, siasatan polis mendapati tempat kejadian terletak di kawasan berbukit dan pagar.
“Objek yang disyaki bom tangan itu dijumpai dalam keadaan berkarat dan lengkap sifatnya.
“Pihak Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hadir membuat pemeriksaan keselamatan dan seterusnya proses pemusnahan dilakukan di kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Tambah beliau, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan. – KOSMO! ONLINE