PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Pengarang Kosmo! Datuk Baharom Mahusin yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.
Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham bersabar dan tabah menghadapi dugaan dan suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan menyifatkan pemergiannya sebagai satu kehilangan besar khususnya kepada dunia kewartawanan negara.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan para solihin,” katanya di laman Instagram hari ini.
Allahyarham yang kali terakhir bertugas sebagai Ketua Pengarang Sinar Harian menghembuskan nafas terakhirnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas menerima rawatan di pusat perubatan itu.
Difahamkan jenazah akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Raudthul Sakinah Taman Batu Muda tengah hari ini. – K! ONLINE