PETALING JAYA – Berkuat kuasa 12 September (esok), perkhidmatan feri Pulau Pinang, Penang Port Sdn Bhd (PPSB), menawarkan diskaun tambang sebanyak 30 peratus bagi penunggang motosikal.
PPSB menerusi satu kenyataan berkata, diskaun itu disediakan melalui pas musim sehingga 30 Jun 2024.
“Sepanjang bulan ini, PPSB sentiasa memantau komen orang ramai dan kebimbangan mengenai perkhidmatan feri Pulau Pinang.
“Input anda sangat berharga dan kami komited menangani keperluan serta memastikan perjalanan lancar untuk semua.
“PPSB bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Kementerian Pengangkutan (MOT), dan MMC Corporation Berhad (MMC) sukacitanya mengumumkan inisiatif khas ini tanda penghargaan kepada para pelanggan kami,” kata kenyataan tersebut.
Kata PPSB, dengan pemberian diskaun tersebut, tambang motosikal bagi satu hala akan dikurangkan daripada RM2.50 ke RM1.75.
“Diskaun tersebut membolehkan pelanggan membayar cuma RM105 bagi 60 trip berbanding sebelumnya, RM150.
“Pas musim diskaun ini boleh diperoleh melalui MyKad,” tambah kenyataan itu.
Selain itu menurut kenyataan itu, jadual perkhidmatan feri itu turut menyediakan perjalanan tambahan pada pukul 11:00 malam setiap hari, dari Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di Butterworth.
“Pelarasan ini menyelaraskan perkhidmatan feri PPSB dengan jadual tren perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang tiba pada 10:22 malam.
“PPSB, PPC, MOT dan MMC melanjutkan komitmen bersama mereka ke arah penambahbaikan berterusan perkhidmatan feri Pulau Pinang,” kata kenyataan itu. – KOSMO! ONLINE