MASALAH kesihatan yang melanda pemain beregu lelaki negara, Soh Wooi Yik menjadi punca utama dia dan Aaron Chia tidak dapat menampilkan aksi sebenar ketika tewas pada perlawanan akhir Terbuka China kelmarin.
Pada aksi final yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou itu, Aaron-Wooi Yik tewas mudah 12-21, 14-21 dalam tempoh 26 minit kepada wakil tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Aksi yang ditampilkan beregu No. 6 dunia itu nyata berbeza jika dibandingkan dengan prestasi mereka ketika menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae pada separuh akhir.
Bagaimanapun, persoalan terjawab selepas Wooi Yik mendedahkan, dia mengalami demam mengejut pada malam sebelum perlawanan akhir sehingga menyebabkan dia tidak dapat untuk mengeluarkan aksi sebenar.
“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyaksikan perlawanan pada hari ini (kelmarin). Secara jujur, saya mengalami demam mengejut pada malam sebelumnya dan tidak mampu berbuat apa-apa.
“Ini bukanlah Wooi Yik yang sebenar dan bukan karakter saya. Saya beritahu diri sendiri supaya berikan segala-galanya, namun ia sangat sukar dan saya langsung tidak berdaya dalam gelanggang,” katanya menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.
Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan tersebut selain kekal percaya dia dan Aaron akan menamatkan kemarau kejuaraan pada saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia).
“Saya ambil tanggungjawab ini kerana rasa bersalah kepada Aaron. Saya percaya ada hikmah mengapa tuhan tentukan sebegini. Apa yang ada dalam fikiran saya sekarang adalah saya akan dapatkan kejuaraan itu satu hari nanti,” tambah Wooi Yik.