KUALA LUMPUR – National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2023 dijadualkan berlangsung dari 30 hingga 31 Oktober 2023 ini.
Ia diumumkan oleh penganjurnya, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) menerusi majlis yang disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar, di sini hari ini.
Program itu merupakan merupakan lanjutan daripada kejayaan NHCCE 2022 yang menerima sambutan menggalakkan daripada peserta-peserta dari rantau Asia Tenggara.
Bertemakan ‘Menjana Pertumbuhan, Menginspirasi Perubahan’ atau ‘Pioneering Growth, Inspiring Change’, NHCCE bertujuan untuk membantu organisasi dan pengamal sumber manusia (HR) dalam menghadapi cabaran di tempat kerja.
HRD Corp menerusi kenyataannya berkata, NHCCE 2023 akan menampilkan lebih daripada 30 tokoh terkenal dunia dalam bidang modal insan, pengamal HR serta pakar-pakar bidang.
“Antaranya ialah Dave Ulrich, yang sering dianggap sebagai bapa HR moden dan profesor perniagaan di Ross School of Business, Universiti Michigan, Frank Furness.
“Turut terlibat, Pengasas dan bekas presiden Northwest London Speakers Club, Dr. Donald H Taylor, Pengerusi The Learning and Performance Institute, serta beberapa pemimpin industri tempatan.
“Mereka akan mengendalikan perbincangan merangkumi Teknologi dan Inovasi, Kepimpinan dan Pertumbuhan, Motivasi dan Kesejahteraan, Pembelajaran dan Pembangunan, dan Tenaga Kerja Dinamik dan Tempat Kerja Masa Depan.
“Ia akan membuka jalan kepada wacana baharu dalam pembangunan modal insan, memperkasakan pengamal HR untuk mengambil peranan yang lebih strategik dalam organisasi masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Sivakumar berkata, acara ini menggalakkan inovasi dan menyediakan ruang untuk perbincangan yang merangsang pemikiran tentang trend serta strategi masa depan.
“Kami percaya persidangan ini akan mengangkat Malaysia ke persada global dan muncul sebagai hab ekonomi serantau yang kukuh.
“Ia sekali gus memacu pelaburan asing berkualiti seterusnya akan menyediakan peluang pekerjaan lebih baik untuk rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis pengumuman tersebut.
Dalam masa sama, Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Wira Shahul Dawood berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian NHCCE 2022 lalu.
“Terima kasih di atas sokongan anda. Kami mengalu-alukan lebih 2,500 peserta dan lebih daripada 5,000 pelawat.
“Saya yakin NHCCE 2023 akan membina asas kukuh dan terus menjadi tempat kelahiran penyelesaian inovatif untuk mengatasi cabaran pembangunan modal insan moden,” ujarnya.
Selain perbincangan yang merangsang pemikiran, NHCCE 2023 juga akan menjadi tempat berlangsungnya salah satu pameran terbesar di Malaysia pada tahun ini.
Ia menyediakan lebih daripada 400 pempamer terkemuka, menyajikan tren terkini dalam model peningkatan kemahiran, teknologi baru dan platform kesejahteraan, yang akan menggalakkan pertumbuhan organisasi serta perkembangan individu.
Pas masuk ke NHCCE 2023 kini juga dibuka untuk pembelian di mana Pas Standard berharga RM2,500, manakala Pas Kumpulan boleh didapati dengan harga RM2,250 setiap orang, dengan syarat sekurang-kurangnya tiga (3) peserta.
Penjawat awam pula hanya perlu membayar RM1,800 untuk Pas Kerajaan, sementara pelajar hanya perlu membayar RM500 untuk mendapatkan Pas Pelajar.
NHCCE 2023 juga membuka penjualan Pas Antarabangsa kepada delegasi luar negara pada harga USD1,000 untuk Pas Standard dan USD900 untuk setiap orang bagi Pas Kumpulan, dengan sekurang-kurangnya tiga orang delegasi.
Sempena sambutan Hari Malaysia, pihak yang berminat berhak menerima diskaun sebanyak 5 peratus ke atas semua pas dari 1 hingga 16 September 2023.
Untuk maklumat lanjut mengenai NHCCE 2023, sila layari https://hrdcorp.gov.my/nhcce/. – KOSMO! ONLINE