PENYERANG Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Alif Ikmalrizal Anuar mahu menjadikan aksi dengan Thailand di Stadium Chonburi, malam ini untuk memadam badi gol pada kelayakan Piala Asia B-23 2024 kali ini.
Hadir selaku penjaring terbanyak Kejuaraan AFF B-23 bulan lalu, Alif sedar harapan besar diletakkan di bahunya untuk mengesahkan kemenangan.
“Alhamdulillah, semua pemain tidak ada sebarang kecederaan dan semua boleh memberikan khidmat penuh pada aksi nanti. Sebagai penyerang, tekanan itu adalah perkara biasa dan saya harap saya boleh bantu pasukan untuk layak.
“Jadi, apabila jurulatih beri peluang, sudah pasti saya akan berikan 100 peratus untuk membantu pasukan,” katanya.
Selepas dua perlawanan awal bertemu Bangladesh dan Filipina, T. Saravanan muncul penjaring terbanyak Malaysia dengan dua gol ketika membantu pasukan menang 4-0 ke atas Filipina Sabtu lalu.
Daripada kedudukan semasa, Thailand masih memiliki kelebihan jaringan untuk mendahului Kumpulan H sekaligus meletakkan Malaysia kini berdepan misi wajib menang untuk layak.