fbpx

Sanusi akan dipanggil SPRM isu REE minggu depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Sanusi.

PUTRAJAYA – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat bagi membantu melengkapkan proses akhir siasatan berhubung isu perlombongan unsur nadir bumi (REE).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, ketika ini, siasatan pihaknya berkenaan isu perlombongan REE itu telah memasuki fasa akhir.

“Saya akan panggil dia (Muhammad Sanusi) sama ada minggu ini atau minggu hadapan. Kita telah hampir selesaikan siasatan itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai rangka siasatan isu REE itu, Azam berkata, siasatan dijalankan SPRM sedikit berbeza dengan agensi lain di mana ia turut melibatkan hal-hal berkaitan lain termasuk undang-undang selain sistem dan prosedur operasi standard (SOP).

“Siasatan SPRM tidak sama seperti agensi lain, meskipun kita menyiasat tentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa, tetapi ia turut merangkumi perkara seperti SOP, undang-undang dan sistem bagi isu REE.

“Jadi, tugas kita ialah menasihatkan kerajaan bagaimana untuk raktifikasi isu tersebut.

“Orang ramai selalu bercakap tentang bila pendakwaan akan dilakukan, namun ia bukanlah perkara itu sahaja, sebaliknya ada hal-hal lain lagi,” jelasnya.

Azam berkata, terdapat pelbagai faktor perlu diberi tumpuan sekiranya ingin melakukan sesuatu pendakwaan khususnya dalam isu REE termasuk saksi.

“Sebagai contoh, dalam kes REE, kita lihat dalam pelbagai sudut termasuklah pihak mana yang meluluskan perlombongan. Jika tidak silap, kuasa meluluskan bawah Persekutuan, jadi antara kerajaan Negeri dan Pusat, bagaimana mereka uruskannya.

“Bagaimana mereka cadangkan kepada Persekutan, apakah polisinya, itu semua kita kena tengok. Itu tugas penyiasat untuk menyemak semua itu,” jelasnya.

Sebelum ini, Azam memaklumkan SPRM mengesahkan terdapat keterangan baharu berhubung isu REE yang masih dalam siasatan pihak tersebut.

Azam berkata, keterangan baharu itu akan dilihat dan diteliti oleh pegawai SPRM.

“Kalau bertanya tentang REE di Kedah ni, ia masih tindakan siasatan. Saya ingin maklumkan terdapat keterangan baharu untuk pegawai penyiasat saya melihat perkara itu dan menyiasatnya,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI