fbpx

Dewan Rakyat: RM1.5 bilion peruntukan basmi miskin tegar – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (kiri) dan Rafizi ketika menunjukkan buku Laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM1.5 bilion telah diluluskan untuk menggerakkan program dan projek yang mampu menjana pendapatan bagi golongan sasar dalam menjamin kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi menjamin kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya, kerajaan berikrar untuk menoktahkan kemiskinan tegar pada tahun ini tanpa mengira etnik, mahupun keberadaan mereka di bandar, desa dan pedalaman.

“Langkah segera akan diambil untuk membasmi kemiskinan dengan memperkasa golongan rentan melalui pewujudan pelbagai peluang pekerjaan dan pengukuhan perlindungan sosial.

“Sehingga 15 Ogos tahun ini, kerajaan masih bertungkus lumus menyelamatkan hampir 114,000 keluarga miskin tegar daripada cengkaman kemiskinan,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Katanya, kerajaan juga telah meluncurkan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), suatu inisiatif serampang dua mata yang menumpukan kepada pendapatan isi rumah dan penyelesaian isu struktur ekonomi di mana sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 106,492 permohonan telah diterima untuk menyertai program IPR.

Selain itu program terbabit akan diteliti oleh Amanah Ikhtiar, Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Tekun Nasional dan program-program melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.

“Pelbagai program dan inisiatif pembasmian kemiskinan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, antaranya Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar, Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk penduduk luar bandar dan Program Pembangunan Ekonomi Orang Asli,” jelasnya.

Beliau berkata dalam kerangka ekonomi Madani, pendekatan kerajaan sesungguhnya merentas kaum, sama ada menoktahkan kemiskinan atau membaiki sekolah daif, namun untuk peruntukan khusus, kerajaan juga melaksanakan program Program Khas Bumiputera Sarawak dan Program Khas Anak Negeri Sabah untuk meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.

“Bagi etnik Cina dan India yang berpendapatan rendah, beberapa inisiatif akan terus dilaksanakan di Kampung Baru Cina dan sebagaimana dalam Malaysian Indian Blueprint.

“Bagi tujuan ini, Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) akan diperkasakan untuk menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat India secara lebih terselaras,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI