AMPANG – Sebanyak tujuh individu ditahan dalam serbuan premis rumah urut ekoran dipercayai menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah, di Taman Cahaya, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, sepasukan pihak polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya membuat serbuan di premis terbabit sekitar pukul 3.45 petang.
“Tangkapan dibuat melibatkan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis serta enam wanita warga asing disyaki pekerja tukang urut di premis sama.
“Kesemua yang ditahan berusia antara 22 hingga 58 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, polis turut merampas satu anak kunci loker, satu botol minyak, dua helai tuala dan wang tunai sekitar RM308.
“Semakan rekod jenayah terhadap kesemua yang ditahan didapati tiada sebarang rekod jenayah manakala ujian air kencing negatif dadah.
“Permohonan reman dibenarkan oleh Majistret Ampang selama empat hari bermula semalam hingga Rabu ini,” katanya.
Jelas Mohd. Azam, kes disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah dan bekerja tanpa permit yang sah.
“Pihak polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam perbuatan menjalankan premis dengan menggajikan pekerja asing tanpa permit yang sah dan bekerja tanpa permit yang sah. – KOSMO! ONLINE.