SAMA ada kita akui atau tidak, sejak jaringan internet menjadi sumber utama rujukan dunia dengan cukup mudah serta terlalu pantas, rujukan mengenai fesyen juga semakin menjadi meragukan.
Rujukan yang diedarkan secara berleluasa dengan informasi yang kabur dan konteks bercelaru itu akhirnya memberi kefahaman yang kurang tepat kepada pembaca.
Pelajar terutamanya, dibimbangi semakin melupakan evolusi sejarah fesyen yang sebenarnya berlaku.
Kini, kebanyakan mereka hanya melihat serta menilai peristiwa penting dalam sejarah fesyen, hanya melalui satu-satu foto yang diunggah (upload) dalam Instagram, Facebook, Pinterest dan sebagainya yang selalunya tiada penerangan langsung atau sekadar dengan info yang cukup ringkas, tidak terperinci dan tiada jaminan kesahihan maklumat.
Kita perlu sedari bahawa pengetahuan mendalam tentang industri fesyen dari dahulu hingga sekarang adalah teramat penting, untuk bertahan dalam landskap industri fesyen yang sentiasa berubah-ubah.
Hari ini, pereka perlu menghadapi pengguna atau pembeli yang lebih berpengetahuan tentang fesyen berbanding sebelumnya. Oleh itu, untuk mencipta atau hasilkan sesuatu rekaan yang benar-benar segar dan baharu adalah cukup rumit.
Dengan pilihan yang cukup pelbagai serta akses mudah dan segera untuk fesyen, pengguna kini sudah bijak untuk menjadi kritikal terhadap fesyen dengan menolak rekaan yang cetek (superficial) serta kurang nilai estetik dan komersial.
Sebagai seorang pereka yang mahu berkreatif, kita semestinya perlu tahu apa peristiwa yang berlaku dalam sejarah untuk menghasilkan pembaharuan dalam rekaan atau karya.
Sememangnya kita perlu sedar tentang apa yang telah dan sedang berlaku dalam fesyen untuk menjadi benar-benar inovatif dan sebagai pencetus trend akan datang.
Disebabkan sumber informasi dalam talian sudah cukup tersedia untuk digunakan, bakal-bakal majikan atau pelabur kini lebih berhati-hati dalam mencari pereka yang benar-benar berbakat besar.
Penyelidikan
Segalanya adalah tentang interpretasi peyelidikan yang tersendiri, sama ada penyelidikan dalam sejarah fesyen global, politik, ekonomi, muzik, seni bina, tekstil dan pelbagai lagi. Majikan/ pelabur mahukan graduan yang berpengetahuan tinggi.
Contohnya, jika anda mahu bekerja dengan sesuatu jenama berprestij, anda perlu tahu siapa pereka atau pengarah kreatif jenama tersebut dari dahulu hingga sekarang, juga sejarah jenama tersebut. Ini adalah sebahagian daripada pemahaman tentang peta budaya industri fesyen.
Disiplin, kayakan minda
Penyelidikan memang sangat penting jika kita mahu menjadi pakar dalam sesuatu bidang kerana penyelidikan adalah amat berharga dan ia adalah eksklusif pada penyelidik. Disiplinkan diri dalam membuat kajian di perpustakaan atau jika mampu belilah bahan-bahan bacaan berkaitan, keluar dan temu bual dengan masyarakat serta pakar.
Kayakan minda dengan menikmati pameran seni, program bual bicara – amat penting untuk kita mewah dengan ilmu pengetahuan budaya warisan dan kontemporari. Semua elemen ini menyumbang kepada penghasilan karya/rekaan hebat serta bersifat sejagat.
Masa depan
Untuk mengetahui tentang keperluan masa depan industri, kita juga terlebih dahulu perlu tahu dan faham tentang sebanyak mungkin pencapaian, isu-isu utama, kemajuan, tindakan yang telah diambil serta perkara yang telah berlaku dan memberi kesan kritikal atas perubahan falsafah dan konteks sejarah industri fesyen itu sendiri.
Identiti
Semua pereka perlu faham apa itu DNA atau identiti sesuatu jenama.
Contohnya, jika anda berpeluang untuk hadiri temu duga dengan jenama berprestij dunia, anda seharusnya memahami bukan hanya beberapa kempen dan koleksi terbaharu atau visi beberapa pengarah kreatif yang terkini tetapi anda juga perlu tahu siapakah pengasas jenama tersebut dan bagaimana mereka merangka, mencorak konsep jenama pada tahun atau dekad sebelumnya.
Apa yang telah berlaku dahulu adalah cerminan apa yang kita lihat hari ini.
Jenama besar
Apa yang dimahukan oleh syarikat/ jenama besar antarabangsa seperti Schiaparelli, Valentino atau Dior (sekadar menyebut beberapa nama) adalah graduan yang mempunyai ciri-ciri bakat luar biasa yang tentunya unik dan hebat dalam penyelidikan serta tidak pernah dilihat sebelumnya.
Mereka tidak mahu melihat interpretasi inspirasi yang telah dibuat berjuta kali oleh semua pereka. Graduan atau pereka yang kurang memahami sejarah dan sentiasa mendapatkan inspirasi rekaan melalui penyelidikan yang longgar, selalunya akan menghasilkan koleksi rekaan yang membosankan serta tidak membawa apapun perubahan dalam arus industri.
Aspirasi baharu
Masyarakat sebagai pembeli/ pengguna akan menjadi penentu kejayaan sesuatu koleksi rekaan. Mereka kini lebih berpengetahuan dan kritikal dalam memberi pandangan. Oleh itu, pereka perlu berkarya dalam lingkungan ideologi kod jenama, tetapi dalam masa sama tidak hasilkan sesuatu yang tiada pembaharuan. Pereka harus sentiasa menyuntik aspirasi baharu dengan teknologi terkini, tetapi masih berpaksikan sejarah.