HANOI, Vietnam – Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam hari ini memberi amaran terhadap ‘ancaman atau penggunaan kekerasan’ di Laut China Selatan, beberapa hari selepas pertempuran terbaharu melibatkan kapal-kapal China.
Presiden Joe Biden dan ketua Parti Komunis Vietnam, Nguyen Phu Trong berkata, tuntutan bertindih ke atas laluan air strategik itu mesti diselesaikan di bawah norma antarabangsa.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan yang menjadi laluan kargo bernilai beberapa trilion dolar setiap tahun dan pernah mengetepikan keputusan mahkamah antarabangsa bahawa tuntutannya tiada asas undang-undang.
“Kami menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada penyelesaian aman pertelingkahan berteraskan undang-undang antarabangsa tanpa ancaman atau penggunaan kekerasan (tentera),” kata Biden dan Trong dalam kenyataan bersama.
Mereka juga menuntut kebebasan berlayar dan terbang serta perdagangan bebas tanpa gangguan di Laut China Selatan.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Biden dan Trong menandatangani perjanjian untuk mengukuhkan lagi kerjasama antara Washington serta Hanoi yang dilihat sebagai langkah untuk menangani pengukuhan kuasa Beijing di rantau ini.
Vietnam yang pernah berperang dengan China antara tahun 1979 hingga 1988, gelisah tentang jirannya itu. Vietnam merupakan antara segelintir negara yang membuat tuntutan ke atas sejumlah pulau kecil dan terumbu di Laut China Selatan.
Sementara itu, pada minggu lalu, Filipina menuduh kapal Pengawal Pantai China dan bot-bot militia China menakut-nakutkan kapal pengawal pantainya ketika mereka membawa bekalan kepada askar Filipina yang ditempatkan di Terumbu Thomas Kedua.
Tentera Laut Filipina sengaja mengandaskan sebuah kapal lama di terumbu itu pada tahun 1999 untuk mengekang kemaraan China. – AFP