MISANO – Pelumba Pramac Racing, Jorge Martin membuat pengakuan mengejutkan apabila menyatakan dia tidak menggalas tanggungjawab untuk memenangi Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kerana hanya berstatus pelumba satelit.
Martin mengeluarkan kenyataan tersebut selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) San Marino di Litar Misano kelmarin yang menyaksikan dia hanya dibezakan 36 mata dengan pendahulu kejuaraan dunia dari pasukan Ducati, Francesco Bagnaia.
Walaupun mengakui dia akan mengejar takhta kejuaraan dunia jika memiliki peluang, namun pelumba Sepanyol itu menegaskan, tanggungjawab untuk memenanginya lebih terarah kepada pelumba-pelumba pasukan utama Ducati.
“Sasaran saya adalah untuk memenangi perlumbaan. Bagaimanapun, saya bukanlah pelumba pasukan utama Ducati, jadi bukan menjadi tanggungjawab saya untuk bersaing merebut kejuaraan dunia.
“Apa yang pasti, jika ada peluang (juara dunia) seperti sekarang, saya akan cuba untuk melakukannya. Hari di mana saya akan pikul tanggungjawab hanya hadir sekiranya saya sudah menjadi pelumba pasukan utama,” katanya.
Sementara itu, Bagnaia pula menegaskan, tidak ada perbezaan antara pelumba utama atau satelit kerana menganggap setiap pelumba adalah layak untuk bersaing bagi merebut takhta kejuaraan dunia.
“Dia (Martin) seorang pelumba yang memiliki mentaliti untuk menang dan dia buktikannya hari ini (kelmarin). Bagi saya, sesiapa sahaja boleh mencabar kejuaraan dan ia terpulang kepada diri masing-masing,” ujarnya. – AGENSI