KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi komitmen membiayai projek tebatan banjir dengan kos mencecah hampir RM22 bilion dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan peruntukan yang begitu besar itu bagi mengatasi masalah rakyat dengan memberikan kewajaran untuk kerajaan menguruskan isu air dan banjir secara holistik dan bersepadu.
“Kerajaan juga akan terus meneroka kawasan yang bersesuaian bagi pengabstrakkan sumber air bawah tanah dengan membina lebih banyak telaga tiub dan pembinaan empangan bawah tanah.
“Selain itu, usaha akan digembleng untuk menyediakan sumber air mentah yang mencukupi melalui projek Takungan Air Pinggiran Sungai.
“Penerokaan sumber baharu air dan pembinaan infrastruktur air itu akan dapat memastikan keterjaminan bekalan air yang bersih dan selamat kepada rakyat selaras dengan Agenda Transformasi Sektor Air 2040,” katanya ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, kerajaan turut bersetuju menyalurkan bantuan segera RM800 juta bagi menyelesaikan gangguan bekalan air yang dihadapi rakyat.
Jelas Anwar, bantuan segera itu sebahagian daripada kos keseluruhan yang mencecah RM5 bilion bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air di Kelantan dan Sabah.
“Kerajaan tidak sesekali akan berlengah untuk menyelesaikan gangguan bekalan air yang dihadapi rakyat.
“Kerajaan juga akan memulakan langkah untuk mereformasi model industri air di seluruh negara supaya lebih mampan dan holistik,” katanya. – KOSMO! ONLINE.