fbpx

Pengurus projek berputih mata, wang RM381,950 dalam akaun lesap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

TAIPING – Seorang pengurus projek swasta menjadi mangsa sindiket penipuan online sehingga menyebabkan dia kerugian RM381,950.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kejadian bermula selepas wanita itu menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Harban Singh dari sebuah syarikat penghantaran di Alor Setar, 18 Ogos lalu.

“Suspek memaklumkan terdapat bungkusan atas nama mangsa mengandungi kad kredit, cip kad pengenalan, kad bank dan 100 keping wang palsu. Mangsa menafikan perkara itu.

“Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada suspek kedua iaitu ‘Sarjan Faizal’ yang mengaku pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar. Lelaki itu meminta mangsa membuat laporan polis melalui panggilan telefon,” katanya hari ini.

Menurut Mohd. Yusri, panggilan kemudian disambungkan kepada seorang inspektor yang memaklumkan mangsa telah menjual akaun bank peribadi kepada penama yang tidak dikenali pada harga RM200,000.

“Bagi meyakinkan mangsa, seorang lagi suspek berpangkat Datuk memaklumkan siasatan sudah dijalankan ke atas mangsa dan akaun bank akan dibekukan.

“Disebabkan cemas dan takut, mangsa memberikan kesemua maklumat lapan akaun bank miliknya termasuk kad kredit,” katanya.

Seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Nizam dari Bukit Aman kemudian meminta maklumat peribadi mangsa kononnya bagi tujuan siasatan. Wanita itu diarahkan untuk  membuat pinjaman wang peribadi RM100,000.

“Mangsa diarahkan memindahkan wang itu ke dalam dua buah akaun bank sebanyak RM50,000 setiap satu akaun. Mangsa hanya menyedari dia ditipu selepas mendapati wang di dalam akaun bank dipindah ke akaun lain yang berjumlah RM381,950 bermula dari 18 Ogos hingga 6 September lalu.

Mangsa membuat laporan polis semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI