PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi momen lucu yang dialaminya selepas menerima dua keping not RM20 yang dilukis tangan di laman TikTok.
Menurut video tular tersebut, wang palsu tersebut adalah antara duit salam kaut yang diterimanya ketika kenduri kahwin.
“Ingatkan salam bagi tisu kosong atau sampul kosong sahaja. Rupanya sekarang lagi maju, ada yang lagi teruk rupanya,” kata pengguna tersebut dalam video sama.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna TikTok berpendapat tindakan tersebut tidak patut dilakukan kerana wang tersebut dikira sebagai sedekah.
“Suami saya pernah kata, ada orang tidak mampu tetapi dia segan salam kosong. Bukan niat hendak memperdaya tetapi dia cuma tidak mahu rasa malu dan sedih,” kata Tiqa.
“Kalau pergi rumah orang kahwin, tidak perlu bagi duit kalau tidak mampu. Ustaz cakap tidak wajib beri duit di kenduri kahwin, tetapi wajib sedekah ketika ziarah orang sakit,” kata Yana.
“Zaman sekarang, tuan rumah tunggu jemputan bawah khemah. Nak tak nak, kena lalu depan tuan rumah. Seganlah kalau salam tak beri duit,” kata Hawa.
Kini, hantaran tersebut telah menerima 12,000 tanda suka dan 782 komen. – KOSMO! ONLINE