fbpx

Warga Myanmar ditikam, mayat dibuang dalam kolam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

LUMUT – Gara-gara mabuk, seorang lelaki warga Myanmar bergaduh dengan rakan sekerjanya sebelum dipercayai ditikam sehingga maut di kawasan Lumut, kelmarin.

Mayat mangsa ditemui di dalam kawasan kolam yang digunakan sebagai tempat pembuangan sisa kotoran kolam udang di kawasan tempatnya bekerja.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan terhadap mayat itu menemui kesan tikaman di bahagian dada, disyaki ditikam oleh suspek.

“Pada pukul 2.19 petang 8 September (kelmarin), pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima laporan polis daripada lelaki warga Taiwan berumur 53 tahun memaklumkan telah pergi ke kolam udang di kawasan Lumut, dan mendapati dua orang pekerjanya tidak datang bekerja,” katanya, di sini hari ini.

Menurutnya, kejadian disyaki berpunca daripada perbuatan meminum arak yang menyebabkan berlaku pergaduhan di antara kedua-dua mangsa dan suspek warga Myanmar berusia dalam lingkungan 40an.

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk proses bedah siasat.

Beliau memaklumkan polis masih memburu suspek dan setakat hari ini belum ada tangkapan dilakukan.

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian agar menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung, Asisten Superintendan Ashazarul Khairi Ab. Hamid, di talian 012-5077026 untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI