PETALING JAYA – Penyanyi Tom mendedahkan pernah berdepan pengalaman misteri apabila didakwa pernah hilang selama beberapa hari dipercayai disorok bunian atau mahkluk halus.
Pemilik nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram itu berkata, kejadian berlaku ketika usianya tiga tahun di kampungnya di Kuala Kangsar, Perak.
Keluarga cakap saya kena sorok dengan bunian tapi tak tahulah betul atau tak, cuma saya ingat saya di sebuah perkampungan, pasirnya putih bersih, rumah dekat-dekat dan bumbungnya berbentuk segi tiga.
“Rumah kecil sahaja dan pintunya ditolak dari bawah ke atas dan diperbuat daripada daun. Penghuni pula semua perempuan dan mereka sambut Tom yang menangis ketakutan.
Mereka pujuk dan dukung Tom sambil ajak menyanyi dengan mereka. Selepas itu, Tom tak ingat apa-apa,” tulisnya dalam hantaran Instagram Story.
Juara program realiti My Starz LG musim ketiga itu dimaklumkan kehilangannya mencetuskan kekecohan ahli keluarga serta jiran tetangga.
Menurut penyanyi berusia 36 tahun itu lagi, keluarga terdekat menyatakan orang kampung menemuinya dalam keadaan sedang nyenyak tidur di rimbunan semak.
“Nenek menangis tengok orang kampung hantar saya balik sampai di depan rumah tetapi bukanlah perempuan tadi, makcik dan pakcik tua yang sekampung dengan kami.
“Katanya mereka nampak Tom sedang tidur dalam semak. Sampai sekarang Tom dan keluarga tak boleh lupa kejadian itu. Emak pun ada cerita pada suami.
Benar atau tidak Tom kena sorok dengan bunian, wallahualam,” luahnya lagi.
Menerusi perkongsian tersebut, Tom yang juga peserta Gegar Vaganza musim ke-9 turut memuat naik gambar seakan-akan bayangan perkampungan dimaksudkan. – KOSMO! ONLINE